Sepintas lalu...

Teknologi : Pembangunan dan aplikasi sains dalam penggunaan alatan, mesin, bahan dan proses yang boleh memanfaatkan serta menyelesaikan masalah manusia yang dihadapi dalam kehidupan seharian.
(Sumber: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi)

Belia : seseorang yang berumur dari 15 hingga 40 tahun berdasarkan Akta Pertubuhan dan Pembangunan Belia 2008
(Sumber: Majlis Belia Malaysia)

Penggunaan Teknologi elektronik dikalangan Belia

0

Written on 1/27/2009 02:18:00 PM by YgenXtreme

Tidak dinafikan bahawa perkembangan teknologi banyak membawa pembaharuan dan kesan positif dan negatif kepada masyarakat. Perkembangan teknologi yang dimaksudkan tidak hanya melibatkan aktiviti masyarakat dalam menjalankan kehidupan mereka tetapi ianya juga melibatkan beberapa industri/bidang dalam negara . Antaranya ialah industri/bidang pertanian, pengiklanan, perniagaan, pendidikan, dan sukan. Setiap perubahan dan perkembangan yang berlaku bukan sahaja melibatkan eletronik tetapi juga melibatkan peralatan. Untuk itu, kita akan membincangkan mengenai perubahan perkembangan teknologi yang melibatkan aplikasi ke atas elektronik. Sebagaimana yang kita ketahui, antara bidang/ industri yang berkembang selari dengan perkembangan teknologi adalah dalam bidang perniagaan, periklanan dan pendidikan. Mari kita lihat sama-sama...



Perniagaan melalui internet atau lebih dikenali sebagai e-dagang atau perdangangan elektronik, pada masa kini telah menjadi seperti trend. Ramai belia menjadikan internet sebagai saluran untuk memulakan perniagaan pada kos pada kadar yang minimum. rangkaian sosial seperti Myspace dan Facebook dijadikan sebagai percubaan bagi yang baru berjinak-jinak dengan perniagaan atas talian ini. Mereka tidak memerlukan modal yang besar untuk menyewa kedai, membeli kelengkapan dan sebagainya. Para belia hanya perlu memiliki sebuah komputer dan kebolehan sebagai asset utama untuk memulakan perniagaan. Jika dilihat dalam aspek kehidupan sekarang, semua orang mahu menjalankan rutin dan aktiviti dengan cepat dan cekap. Oleh itu, perniagaan melalui internet merupakan salah satu caranya. Ini kerana perniagaan ini tidak memerlukan peniaga berjumpa dengan pelanggan secara “face-to-face” untuk melakukan perniagaan. Menjimatkan masa bukan? pencemaran juga boleh dielakkan. maklumlah, kita tidak perlu berjumpa di mana-mana. Segala urusan dilakukan dengan menggunakan rangkaian internet sahaja. Malah, urusan pemindahan wang juga boleh dilakukan dengan hanya satu klik sahaja. Tidak perlu beratur. Sudah mudah, efisien pula.


Namun, terdapat juga beberapa keburukan dalam perniagaan melalui internet. Kajian menunjukkan bahawa lebih kurang 90 peratus termasuk para belia terkandas dalam perniagaan melalui internet. Ini berlaku kerana para belia menyangkakan bahawa perniagaan ini mudah dijalankan dan tidak memerlukan perancangan perniagaan dengan teliti mahupun pengalaman dalam bidang perniagaan. Hal ini menyebabkan kebanyakan perniagaan talian ini tidak mampu bertahan lebih lama.Selain itu, penipuan juga mudah berlaku. Hal ini kerana belia tidak tahu dengan siapa mereka berurus niaga. Malah, mereka juga cepat percaya dengan pelanggan-pelanggan mereka yang tidak diketahui latar belakangnya. Seterusnya, hal ini akan mengundang kerugian kepada mereka dan mungkin terpaksa menggulung tikar. Justeru itu, para belia haruslah berhati-hati dalam perniagaan menerusi internet dan juga haruslah berfikir panjang sebelum memulakan sesuatu perniagaan. Nampak tak sekarang kesan-kesannya? Baiklah mari kita bincangkan topik periklanan pula ya...



Jika dilihat perkembangan teknologi dalam bidang pengiklanan dahulu dan sekarang, isi kandungan dan rekabentuk iklan sekarang adalah jauh lebih menarik dan penyampaiannya adalah lebih terperinci. Iklan-iklan dahulu adalah tidak semenarik iklan sekarang.



Sejauhmanakah perkembangan teknologi memberi impak ke atas sektor pendidikan negara kita ?
Banyak peluang yang disediakan oleh pihak kerajaan mahupun persendirian bagi memberi laluan kepada belia bagi mendapatkan pendidikan. Tiada sebarang bentuk paksaan malah diberi kuasa untuk memilih jenis atau isi kandungan yang ingin dipelajari bagi belia yang sedang menuntut di institut pengajian tinggi (IPT). Terdapat pelbagai program yang disediakan seperti pengurusan, undang-undang, farmasi, kedoktoran, pemasaran, kejuruteraan dan lain-lain. Sudah tentu salah satu daripada program yang ditawarkan merupakan bidang yang diminati oleh belia.
Belia zaman sekarang sememangnya mudah untuk mendapatkan sebarang jenis pendidikan, bermula daripada pendidikan berbentuk ilmiah sehinggalah kepada bentuk kepakaran bidang. Zaman teknologi yang semakin maju di Malaysia sekarang ini membenarkan belia yang ingin mendapatkan pendidikan tetapi tidak mampu untuk berada di mana-mana institut pengajian tinggi melalui Pengajian Jarak Jauh (PJJ). Segala aktiviti ataupun pembelajaran akan dilakukan atas talian (online).
Mahu atau tidak?
Ini merupakan persoalan utama bagi golongan belia dalam mendapatkan pendidikan. Tiada lagi persoalan tiada program yang diminati, tiada masa, tidak berkemampuan ataupun tidak layak. Kerajaan dan pihak persendirian sudah menyediakan segala jenis bantuan dan peluang bagi membantu golongan belia mendapatkan pendidikan ke tahap yang sepatutnya. Keputusan untuk menggunakan peluang tersebut dan mendapatkan pendidikan ke peringkat sewajarnya terletak di tangan belia itu sendiri.


Kebanyakan isu yang dipaparkan kepada anda adalah mengenai kesan teknologi kepada belia, namun kali ini, isu dibawah menceritakan tentang kesan teknologi kepada sektor pertanian dan tindakan golongan belia, dimana ianya memberi kesan yang kurang baik kepada sektor berkenaan.” – penyelidik


Malaysia selepas kemerdekaan adalah terkenal sebagai sebuah Negara pertanian di mana ekonomi Negara pada masa itu sangat bergantung kepada sektor pertanian dan perlombongan. Namun begitu, pada masa kini, kita sedang menghadapi satu revolusi baru yang bersifat global dan berupaya untuk mengubah kehiduapan manusia. Revolusi IT ini telah berjaya mengubah asas ekonomi kita daripada pertanian kepada perindustrian.
Perubahan ini telah memberikan impak/kesan yang besar kepada sektor pertanian. Revolusi teknologi moden telah menyebabkan sektor pertanian dipandang sayu. Para petani tidak lagi berminat menjalankan kerja-kerja tani yang dahulunya pernah menjadi pekerjaan turun-temurun. Antara cabaran yang dihadapi adalah tenaga kerja yang semakin tua iaitu 21.4% adalah berumur 55 tahun ke atas (Sumber: Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani). Lebih parah apabila generasi sekarang iaitu golongan belia sekarang menganggap pekerjaan pertanian adalah tidak menarik dan lebih berminat berhijrah ke Bandar-bandar besar mencari pekerjaan yang lebih ‘popular’ dan menawarkan pendapatan yang lebih tinggi dan terjamin dalam sektor perindustrian.
Walaupun petani, penternak dan nelayan telah didedahkan kepada penggunaan teknologi moden ini yang berpotensi memberikan manfaat yabg besar menerusi beberapa projek demontrasi, namun begitu, mereka tetap tidak berkemampuan untuk menerimannya atas beberapa faktor antaranya kekurangan pengetahuan tentang teknologi moden dan kekurangan modal. Ke mana hilangnya golongan muda/belia yang mempunyai pengetahuan dalam teknologi, yang dianggap sebagai masyarakat berinformasi?
Adakah kita golongan belia sedar akan kesan perubahan ini? Perkembangan teknologi yang dianggap sesuatu yang positif kerana membantu manusia dalam kehidupan tetepi tanpa disedari memberikan kesan negatif kepada perkara-perkara tertentu. Disebabkan cara kehidupan kita yang moden, kita tidak pernah terfikir bahawa pada masa dahulu sektor pertanian yang membawa kita kepada kehidupan kita sekarang. Apa yang ada di minda kita adalah keperluan kita untuk mengejar perkembangan teknologi supaya kita tidak ketinggalan di belakang. Penggunaan teknologi telah pun diserapkan ke dalam sektor pertanian dan kerajaan juga menjalankan langkah pengekalan dan pemeliharaan untuk memastikan kedudukan dan sumbangannya terhadap ekonomi kita. Di samping, dapat memastikan bekalan makanan sentiasa mencukupi bagi rakyat. Apakah tindakan golongan belia? Ada yang menyertai program yang dijalankan oleh kerajaan tetapi tidak ramai. Perlu diingat, asas ekonomi kita adalah pertanian dan masih lagi bergantung kepada sektor ini. Mengapa kita perlu berbelanja lebih untuk mendapatkan sumber dari luar sedangkan Negara kita sudah ada sumbernya.
“Masa hadapan sektor pertanian adalah mencabar memandangkan kepada persaingan global. Walaubagaimana pun cabaran-cabaran ini menyediakan peluang-peluang baru yang boleh diambil kesempatan oleh swasta dan golongan sasar. Bidang pertanian boleh dimajukan untuk menjana keuntungan dengan syarat dilaksanakan secara bersungguh-sungguh dan sepenuh masa dengan menumpu perhatian kepada kehendak pelanggan. Kerajaan bersedia untuk memudahcara penglibatan semua pihak di dalam sektor ini dan segala tindakan akan diambil untuk maksud tersebut. Semangat kerjasama teamwork antara semua yang terlibat dapat memastikan pencapaian yang lebih cemerlang.”
YB TAN SRI DATO' MUHYIDDIN HJ. MOHD YASSIN, MENTERI PERTANIAN DAN INDUSTRI ASAS TANI


Adakah kesihatan terjamin dengan adanya teknologi dalam bidang sukan?


Sukan!! seringkali dikaitkan atau lebih sinonim dengan golongan remaja. Pada masa kini, kenyataan itu tidak lagi sesuai digunakan kerana kini lebih ramai masyarakat yang menggemari aktiviti sukan tanpa mengira lapisan umur. Ini kerana masyarakat kini lebih mementingkan kesihatan, dengan melakukan aktiviti sukan. Kehadiran teknologi telah banyak membantu golongan-golongan yang suka bersukan. Kewujudan gimnasium telah banyak membantu golongan ini untuk melakukan aktiviti sukan yang digemari oleh mereka. Disebabkan oleh perubahan gaya hidup yang kian mengikut arus teknologi masa kini, masyarakat terutamanya belia yang sentiasa mengalami kekangan masa dalam kehidupan seharian lebih menjurus untuk memilih aktiviti yang memudahkan mereka untuk bersukan seperti pergi ke gimnasium untuk bersenam. Jika hendak dibandingkan dengan masyarakat dahulu mereka lebih menggunakan cara tradisional untuk melakukan aktiviti sukan seperti berjoging,"skipping", berbasikal dan sebagainya. Dengan kemunculan teknologi, sejauhmanakah anda sebagai belia bersetuju bahawa kemunculan teknologi ini hanya memberi impak positif kepada masyarakat amnya dan belia khususnya.


Keadaan inilah boleh dikupas secara terperinci bahawa kewujudan teknologi ini memberi manfaat kepada semua golongan masyarakat. Seperti yang kita sedia maklum, rakyat Malaysia sebilangannya bukanlah terdiri daripada golongan yang berpendapatan tinggi. Ini menunjukkan tidak semua lapisan masyarakat dapat menikmati peningkatan teknologi dalam bidang sukan. Sesungguhnya disini aktiviti sukan tradisional tidak boleh ditelan zaman walaupun teknologi sukan sekarang semakin berkembang. bak kata pepatah "tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan".


Internet dan Belia

0

Written on 1/20/2009 08:55:00 PM by YgenXtreme

Internet atau International Network of Networks' ialah sebuah rangkaian gergasi komputer diperingkat antarabangsa (TMB,1998) dan merupakan cara komputer berkomunikasi antara satu sama lain (Crumlish,1996). Internet berasal dari perkataan inter dan networking. Ia merujuk kepada rangkaian yang dibina dengan menyambungkan komputer di antara satu sama lain. Internet juga merupakan gabungan rangkaian kecil yang membentuk sebuah rangkaian yang sangat besar (global) dengan menggunakan produk yang sama. Apakan sebenarnya kegunaan internet terutamanya kepada belia? Antara aplikasi penggunaan internet adalah;
  • aplikasi komunikasi elektronik,
  • aplikasi penyebaran maklumat,
  • aplikasi pencarian maklumat,
  • aplikasi pemindahan fail, dan
  • aplikasi capaian jauh (Telnet).
Aplikasi-aplikasi ini adalah secara asas kepada penggunaan internet. Persoalan timbul apabila terdapatnya isu mengenai penggunaan internet atau wujudnya internet menyebabkan pelbagai masalah yang timbul. Apakah sebenarnya kegunaan internet kepada belia? Mari kita bincangkan.
Pada era zaman teknologi sekarang khususnya teknologi internet, pencarian untuk mendapatkan maklumat telah berubah. Proses pencarian maklumat pada masa dahulu banyak menggunakan buku log, fail dan ia menyukarkan proses pencarian maklumat secara sistematik. Namun, dengan adanya era teknologi pada masa kini, segala pencarian maklumat menjadi lebih efisyen. Hal ini kerana segala maklumat disimpan di dalam 'database system' menyebabkan maklumat mudah untuk dicari dan sistem penyimpan maklumat lebih sistematik jika dibandingkan pada masa dahulu. Dalam mengakses maklumat pada masa kini, terdapat kesan negatif dan positif. Antara kesan positif ialah melalui internet, pencarian maklumat boleh menjimatkan masa dan tenaga seseorang. Hal ini kerana sebarang maklumat boleh dicari dengan menggunakan satu 'klik' sahaja dan maklumat akan dipapar pada skrin komputer. Selain itu, maklumat yang ingin dicari lebih banyak diperolehi dan penggunaannya lebih sistematik. Namun terdapat juga kesan negatif. Antaranya ialah maklumat yang tidak sepatutnya diperolehi mudah diakses melalui internet. Contohnya para pelajar yang sepatutnya tidak terlibat dengan politik boleh mendapat maklumat tentang politik negara dengan mudah. Selain itu, belia juga mudah memasuki atau melayari laman-laman lucah atau pun maklumat yang mampu merosakkan akhlak mereka.

Belia menggunakan internet dengan pelbagai tujuan. Belia kini bukan hanya sekadar menggunakan telefon untuk berkomunikasi tetapi kini mereka boleh menggunakan laman-laman web seperti Yahoo Messenger, MySpace, Friendster, Tagged dan sebagainya. Mereka boleh berhubung terus dengan orang lain tidak kira di mana-mana tempat dan pada bila-bila masa. Belia tertarik untuk melayari laman-laman web tersebut kerana mereka bebas untuk berkomunikasi tanpa batasan. Tambahan pula, kini internet tiada penapisan maklumat yang sempurna seperti pornografi. Hasilnya ia membawa kesan yang negatif kepada belia, di mana mereka lebih gemar berkomunikasi yang berunsurkan lucah.Persoalan timbul di sini di mana pengaruh internet amat mendominasi pemikiran belia sehingga gejala sosial seperti seks bebas semakin berleluasa. Namun, ia juga memberi kebaikan kepada pengguna internet terutamanya belia. Mereka dapat menambahkan kenalan baru dari pelbagai tempat, boleh bertukar-tukar maklumat, dan sebagainya. Di bawah terdapat beberapa contoh laman web yang selalu dilayari oleh belia.













Merujuk kepada 'Microsoft Manual of Style for Technical Publication V3.0', e-mail atau elektronik mail adalah salah satu aplikasi penggunaan internet di mana ianya adalah satu kaedah mencipta, menghantar atau menyimpan maklumat utama komunikasi menggunakan sistem komunikasi digital. Ia adalah satu alat yang dapat memudahkan kita menerima dan mengirim surat elektronik melalui aplikasi secara online menggunakan komputer atau telefon bimbit. E-mail jika dilihat dari segi tradisional, iaitu sebelum wujudnya teknologi internet, ia adalah seolah-olah sepucuk surat yang digunakan untuk berkomunikasi dengan menggunakan surat untuk diposkan kepada sesiapa sahaja yang diingini. Tetapi komunikasi tradisional menggunakan surat adalah terhad dan berbayar. Malah, ia juga mengambil masa yang agak lama untuk sampai kepada penerima. Namun sekarang, dengan adanya e-mail, semua perkara menjadi mudah terutamanya dalam hal penghantar surat, kelebihan e-mail adalah ianya cepat dengan hanya satu 'klik' sahaja dan mudah, boleh melakukan penghantaran multiple (mengirim kepada beberapa orang sekaligus), boleh menghantar gambar, video, MP3 dan lain-lain. Yang penting, pengirim mesti mempunyai talian internet, komputer dan akaun e-mail.
Tetapi adakah e-mail adalah sesuatu yang membawa kesan positif atau faedah kepada masyarakat terutama belia? Seperti yang kita ketahui, terdapat beberapa cabaran atau isu yang timbul disebabkan penyalahgunaan e-mail. Antaranya penyebaran virus, penyebaran berita yang tidak dipastikan kesahihannya dan sebagainya. Isu-isu ini boleh membawa kesan kepada belia tidak kira dari segi sosial, ekonomi, politik, budaya dan sebagainya. Kadang kala e-mail yang diterima juga boleh membawa kebaikan kepada kita contohnya e-mail yang berkaitan dengan kesihatan, keselamatan atau peringatan. Link di bawah membawa anda ke beberapa contoh e-mail diperoleh yang boleh memberikan kesan yang pelbagai kepada kita. Sila berikan komen anda.